Islam menyukai bidang perniagaan. Ianya adalah sumber keuntungan yang diharuskan oleh syara'. Al-Qur'an sendiri menamakan menuntut atau mencari rezeki dengan jalan perniagaan itu sebagai mencari sebahagian daripada kurnia Allah. Firman Allah:
(Surah al-Muzzammil:20)
Di kalangan para sahabat Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam ramai di antara mereka menjadi ahli perniagaan yang terkenal. Salah seorang daripada mereka itu ialah Abdul Rahman bin 'Auf, iaitu salah seorang daripada sepuluh sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang diberitakan akan masuk syurga. Andainya perniagaan itu suatu dosa tentulah beliau tidak diberitakan sebagai salah seorang yang bakal masuk syurga. Ini menunjukkan perniagaan itu bukanlah suatu halangan.
Haruslah diingat, sungguhpun bidang perniagaan itu sangat digalakkan, namun demikian hendaklah berjaga-jaga dan berhati-hati kerana di dalamnya banyak hal-hal yang mendorong kepada melakukan dosa. Jika tidak dihindari dosa-dosa itu, maka perniagaan akan menarik seseorang kepada kemurkaan Allah dan menarik kepada api neraka.
Amaran-amaran di atas sebagaimana digambarkan daripada maksud hadis-hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam di antaranya:
Maksudnya: "Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan berdosa melainkan bagi orang yang bertaqwa kepada Allah, membuat kebajikan dan bercakap benar."
(Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)
Maksudnya: "Sesungguhnya para peniaga itu adalah orang-orang yang berdosa, mereka bertanya: "Wahai Rasulullah, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli?" Jawab Baginda: "Ya" (Tentu), akan tetapi apabila mereka bersumpah, mereka membuat dosa, dan apabila berkata-kata mereka berbohong."
(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)
Memandangkan kepada amaran-amaran melalui hadis-hadis Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam itu, maka akan timbul persoalan; macamanakah cara bagi para peniaga untuk mendapatkan keredhaan Allah dan ingin selamat daripada kecelakaan?
Caranya tidak lain dan tidak bukan ialah dengan mempelajari hukum syara' dan melengkapkan diri dengan ilmu fiqh yang menentukan syarat-syarat jual beli di dalam hukum Islam. Hal ini adalah wajib, tidak boleh diabaikan oleh setiap pedagang atau peniaga Islam, kerana dengan mengetahui hukum hakam perniagaan itu akan tehindar jual beli yang tidak sah, atau yang haram dan makruh atau lain-lain yang kurang jelas kedudukan hukumnya sedang mereka tidak menyedarinya.
Sebagai suatu langkah ke arah itu, berikut ialah beberapa garis panduan mengenai perniagaan;-
(i) Jangan menjual atau membeli sesuatu kecuali dengan akad ijab dan qabul yang sah, kerana bertukar tangan di dalam jual beli tanpa ijab dan qabul tidak mencukupi, kecuali yang diharuskan oleh setengah ulama iaitu pada benda-benda yang kecil yang tidak bernilai tinggi.
(ii) Barang-barang yang diperniagakan itu halal, bukan yang diharamkan oleh syara' seperti arak, sekalipun yang akan membelinya bukan orang Islam, kerana laknat dalam perkara arak ini termasuk tukang perah, pembawa ke mana arak itu dihantar, tukang petik (buah untuk dijadikan arak), penjual, yang menerima hasil jualan dan lain-lain siapa saja yang terlibat dalam perkara arak ini.
(iii) Jangan berjual beli dengan riba, kerana riba itu suatu dosa besar dan bahaya yang berat. Banyak ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis memberikan ancaman demikian.
(iv) Jangan menipu, mengkhianati pembeli atau memutar belit dan mengelirukan orang. Sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Sesiapa yang menipu kita, maka dia bukan dari golongan kita."
(Hadis riwayat Muslim dan lainnya)
Pernah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam menemui seorang sedang berjual makanan lalu disentuh makanan itu dengan jarinya didapati sebelah dalamnya basah. Maka Baginda pun bersabda kepada penjual makanan itu: "Wahai penjual apa ini?" Jawab penjual : "Itu kena hujan tadi." Sabda Baginda lagi : "Mengapa tidak kamu letakkan di atas supaya pembeli nampak. Barangsiapa yang menipu kita, bukan dari golongan kaum muslimin."
(v) Jangan memonopoli barang-barang dagangan (menahan atau mengumpul barang-barang dagangan untuk dijual dengan harga yang lebih mahal). Memonopoli itu adalah haram. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Barangsiapa memonopoli, maka dia adalah bersalah."
(Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Maksud menyimpan, atau mengumpul barang-barang itu ialah membeli bahan makanan di waktu meningkat harganya. Lantaran orang ramai sangat berhajat kepada makanan ketika itu, kemudian disembunyikan dan disimpan dengan tujuan untuk dijual dengan harga yang lebih mahal. Jika dia membeli pada waktu harga murah untuk dijual apabila harganya naik, ataupun didapati pada suatu masa makanan sedang banyak dan berlebih-lebihan, lalu disimpan atau disorok bahagian yang lebih itu untuk dijual apabila harganya naik, maka itu juga tidak sepi daripada hukum terlarang (makruh). Tentulah hal ini akan membebankan kebanyakkan kaum muslimin.
(vi) Jangan bersumpah bohong, bahkan hendaklah dielakkan supaya tidak bersumpah sekalipun dalam perkara yang benar. Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam menamakan sumpah bohong itu sebagai sumpah palsu (al-Ghamus) maksudnya orang yang bersumpah itu akan tenggelam dengan dosa di dunia dan di dalam api neraka di akhirat dan Allah tidak akan melihat orang itu pada hari akhirat. Bersumpah dengan nama Allah ketika berjual beli tidak akan mendatangkan berkat.
(vii) Jangan mengambil kesempatan menaikkan harga barang untuk mengaut keuntungan yang berlebihan apalagi jika harga itu telahpun ditetapkan oleh kerajaan. Menaikkan harga barang dengan kadar keuntungan yang tidak munasabah adalah suatu jenayah terhadap pengguna, kerana ini akan menyebabkan kesempitan hidup kepada pengguna-pengguna, khasnya mereka yang berpendapatan rendah atau mereka yang hidup dalam kepicitan rezeki.
Dan untuk inilah Ma'qil bin Yasar pernah meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam semasa dia sakit yang membawa kematiannya, di mana ketika itu dia berata kepada orang yang disekelilingnya: "Tolong kamu dudukkan saya supaya saya menyampaikan hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada kamu." Setelah mereka mendudukkannya, dia pun berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah bersabda:
Maksudnya: "Sesiapa yang memasukkan sesuatu harga (barangan belian) orang-orang Islam dengan tujuan untuk menaikkan (harga penjualan) kepada mereka, maka adalah menjadi hak Allah untuk menempatkannya bersama tulang-tulang daripada api pada hari kiamat."
(Hadis riwayat Ahmad, Thabarani dan al-Hakim)
Kemudian ada orang bertanya kepada Ma'qil: "Adakah hadis itu tuan dengar langsung daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam?" Ma'qil menjawab: "(Aku mendengarnya) bukan sekali saja bukan pula hanya dua kali ". Ertinya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengulanginya berkali-kali kerana besarnya bahaya perkara menaikkan harga jualan.
(viii) Dalam berjual beli elok bersifat sempurna, baik perilaku, tidak menganiaya dan sentiasa berlebih kurang. Jangan sekali-kali lokek, terlampau berkira sangat dalam serba-serbi, sebab sifat -sifat murah dan baik itu akan menambah berkat.
(ix) Hendaklah peniaga itu senantiasa menanamkan perasaan ingin untuk mendapatkan keredhaan Allah dengan cara mengeluarkan zakat harta perniagaannya sebanyak 2.5%.
(x) Jangan sampai perniagaan itu melupakan atau melalaikan seseorang daripada kewajipan-kewajipan agamanya, tentang mengingat Allah, sembahyang, haji, berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturrahim, berlaku ehsan terhadap sesama manusia, menunaikan hak-hak saudara dalam Islam dan hak-hak jiran.
Selain panduan yang disebutkan itu, banyak lagi perkara yang perlu diambil ingatan oleh para peniaga. Biasanya para peniaga sentiasa sibuk, sentiasa hidup dalam angka dan akaun. Pagi, petang dan malam menghitung untung dan rugi, menghitung wang keluar dan masuk.
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
Maksudnya: "Peniaga yang benar lagi amanah bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar (siddiqqin) serta para syuhada'."
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Para peniaga yang dikehendaki oleh Allah ialah peniaga yang digambarkan daripada firmanNya:
Tafsirnya: "(Ibadatitu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung."
(Surah an-Nur: 37-38)
Kesimpulannya, peniaga yang bersama-sama para nabi, siddiqqin serta syuhada' itu ialah peniaga yang tidak dilalaikan oleh perniagaannya, sentiasa menunaikan kewajipan-kewajipan agamanya, mengeluarkan zakat perniagaan, tidak menahan atau mengumpul barang-barang perniagaan untuk dijual dengan harga yang lebih mahal, tidak menaikkan harga dengan sewenangnya, tidak menipu, tidak bersumpah bohong semata-mata untuk melariskan barang-barang jualan serta tidak menjual barang-barang yang tidak halal.
Semoga dengan irsyad yang diberikan, para peniaga khususnya, bukan hanya akan memperolehi keuntungan, malahan mendapat rezeki yang berkat dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan