Semua Rezeki Datangnya dari Allah SWT.
SOALAN
ADA sebuah restoran di taman perumahan kami, amat maju dikunjungi ramai
pelanggan, beroperasi bertahun-tahun, tiba-tiba ada restoran baru dibuka yang
mengakibatkan restoran tadi kehilangan hampir semua pelanggan, akhirnya ditutup.
Orang mengatakan restoran yang maju tiba-tiba gulung tikar berpunca daripada
perbuatan orang menutup rezeki dengan menggunakan perbuatan sihir sehingga
bankrap, betul kah begitu?
ABDUL HALIM MOHAMMAD Meru, Selangor JAWAPAN Umat Islam perlu yakin dengan sepenuh-penuhnya bahawa rezeki terletak dalam kekuasaan Allah atau di tangan Allah, bukan di tangan makhluk.
Mahfum Firman Allah (Saba’:24)
Katakanlah: "Siapakah yang memberi rezeki kepada mu dari langit dan dari
bumi?" Katakanlah: "Allah", dan Sesungguhnya Kami atau kamu (orang-
orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang
nyata.
Mahfum Firman Allah (Al-Ankabut:60)
Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus)
rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu
dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui
Mahfum Firman Allah (Ali Imran:26):
Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan
kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan
dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau
kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan
Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala
sesuatu.
Memang banyak ayat-ayat Al-Quran yang merujuk kepada rezeki sebenar yang kita
perolehatau yang hilang daripada kita semuanya dikembalikan kepada Allah SWT
Adapun yang dirujuk kepada saya dalam soalan ini, seolah-olah memberi makna
bahawa ada manusia yang berikhtiar menutup rezeki orang lain dan membuka rezeki
seseorang.
Dengan erti kata lain, ada manusia boleh mengkayakan atau memiskinkan manusia
dengan kebolehannya, maka tentulah logiknya dia juga boleh membuka rezeki
dirinya (untuk memperkayakan diri sendiri), bahawa dengan kekayaan itu dia boleh,
membantu orang yang susah dan bukan menyusahkan orang yang sudah senang.
Secara logiknya, membuka rezeki lebih mudah daripada menutupnya. Contohnya,
membuat sebuah bangunan lebih susah daripada membukanya. Memasang satu
pintu mengambil masa yang lama dan sukar, sebaliknya memecahkan pintu adalah
mudah dan sekejap sahaja.
Pada saya mungkin, restoran yang pertama, dibuka awal, tiada saingan, maka
dengan sendirinya ramai pelanggan. Manakala restoran lain dibuka, dengan cara
yang berbeza, layanan dan makanannya mungkin lebih berkualiti, muka ramai yang
tertarik dan mengubah selera.
Sememangnya ada orang mengadu kepada saya bahawa premis perniagaannya tidak
dapat dilihat oleh pelanggan, seolah-olah telah ditutup. Terpaksa berpindah ke
tempat lain. Sedangkan restoran itu sebenarnya masih dibuka.
Mungkin juga pelanggan tidak perasan wujudnya restoran tersebut. Mungkin juga
pelanggan hilang konsentrasi. Sebagai contoh ada ketika kita pernah kehilangan
seuatu benda (cermin mata misalnya), lalu kita mencarinya di merata-rata tempat,
setelah puas mencari tidak berjumpa.
Maka isteri, bertanya, “Apakah yang kita cari, kita menjawab mencari cermin mata.
Lalu dia memberitahu, “Itu cermin mata ada di atas meja”.
Mengapa selepas kita puas mencari tidak bertemu? Apakah kita disihirkan orang
sehingga benda yang begitu mudah tidak dijumpai? Mungkin benar ada orang
mengusahakan seperti meletakkan sesuatu yang dipercayai boleh menyekat rezeki,
tetapi yakini lah bahawa semua itu adalah usaha jahat manusia, walhal punca rezeki
sebenar-benarnya di tangan Allah.
Bagaimanapun kita mesti berusaha menghindarkan perbuatan jahat manusia, seperti dengki khianat sebagaimana yang disebut dalam Surah an-Naas. Oleh itu, mohonlah kepada Allah, mohon perlindungan kepada-Nya. Carilah sebab-sebabnya mengapa Allah takdirkan keadaan sedemikian berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan